Pengenalan Kepada GPMS

Kemunduran bangsa Melayu dalam bidang ekonomi, sosial, dan politik menjadi pendorong yang kuat ke arah penubuhan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) pada 14 dan 15 Ogos 1948. Atas hasrat untuk mengatasi kemunduran tersebut maka berkumpullah beberapa orang pelajar Melayu Maktab Raffles dan Maktab Perubatan Singapura untuk menaja penubuhan badan pelajar Melayu peringkat kebangsaan yang bertujuan menggabungkan badan pelajar yang sedia wujud ketika itu.


Kesedaran orang Melayu khususnya dalam kalangan pelajar tentang kemunduran dalam tiga (3) lapangan hidup tersebut bermula sejak awal tahun 1900 lagi. Sekitar tahun 1906 percubaan radikal untuk merubah cara fikir dan nilai-nilai hidup yang dianggap merugikan orang Melayu seperti halangan kepada anak gadis untuk bersekolah dan sikap yang tidak menggalakkan anak-anak muda yang terdidik di Timur Tengah. Tokoh pelajar yang terkemuka ialah Syed Al Hadi, Sheikh Tahir Jalaluddin dan Syed Salim Al-Kalali.


Dalam bidang ekonomi pula, pemikir muda iaitu Zainal Abidin Ahmad (Za’aba) menulis rencana khas tentang kemiskinan orang Melayu yang tersiar dalam Al Ikhwan 16 Mac 1927. Manakala dalam bidang politik telah bangkit pula angkatan pelajar dari Sultan Idris Training College (SITC) yang bekerja keras untuk membebaskan negara daripada belenggu penjajahan. Melalui asuhan semangat dari guru muda seperti Abdul Hadi Hassan dan Harun Aminurashid, pelajar tersebut yang diketuai Ibrahim Haji Yaacob meneroka perjuangan siasah secara kolektif.


Walau bagaimanapun, semua tuntutan dan perjuangan tersebut menjadi semakin berkesan hanya setelah tamatnya Perang Dunia Kedua. Ketika itu timbul kesedaran nasionalisme menjadi gerakan sosial (social force) sebagai akibat daripada penyebaran idea tentang kemerdekaan dan pembangunan. Kemenangan Jepun dalam peperangan tersebut dan hasrat Inggeris untuk menjadikan Persekutuan Tanah Melayu sebagai negara jajahan melalui konsep “Kesatuan Malaya” menyuburkan secara spontan peribadi Melayu yang mementingkan rasa ketuanan di negara sendiri.





Sebenarnya GPMS telah pun melalui empat peringkat masa iaitu dengan penubuhan beberapa kumpulan pelajar Melayu yang dengan sedar meningkatkan kualiti pelajaran dan pendidikan orang Melayu.


Peringkat Pertama ialah pada tahun 1937 di mana tertubuhnya “Malay Boys League” di Penang Free School; Kedua, pada tahun 1945 dengan tertubuhnya “Kesatuan Penuntut Melayu Victoria Institution”; Ketiga, pada tahun 1947 iaitu dengan tertubuhnya “Kesatuan Penuntut Melayu Selangor”; dan Keempat, pada tahun 1948 apabila tertubuhnya “Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS)”.


MALAY BOYS LEAGUE 1937


Penang Free School adalah sekolah yang pertama didirikan di Tanah Melayu iaitu pada tahun 1816. Sejak dari tahun tersebut hingga tahun 1937 pelajar Melayu sentiasa ketinggalan dalam hal persekolahan. Pada setiap tahun hanya pelajar bukan Melayu menduduki tempat tertinggi dalam setiap peperiksaan yang dijalankan. Walau bagaimanapun, tradisi kejayaan pelajar bukan Melayu dapat dipecahkan oleh seorang pelajar Melayu, Abdul Wahab Mohamed Ariff setelah beliau berjaya menjadi pelajar terbaik dalam peperiksaan Senior Cambridge pada tahun 1937 dan dianugerahkan Penang Free School Centenery Gold Medal pada tahun 1938. Kejayaan tersebut merupakan rekod kejayaan pertama dicapai oleh seorang pelajar Melayu.


Kejayaan Abdul Wahab Mohamed Ariff menakjubkan teman sebangsanya. Sebagai akibat dari peristiwa tersebut beliau diminta oleh teman-temannya menunjukkan teknik untuk mencapai kejayaan cemerlang dalam peperiksaan. (Abdul Wahab Ariff adalah penuntut terbaik dalam peperiksaan Standard VI, VII, Junior Cambridge dan Senior Cambridge). Beliau menyahut seruan teman-temannya dan memberikan bimbingan pelajaran kepada mereka.


Memandangkan teman-teman terlalu bergantung harapan yang tinggi kepadanya, maka pada tahun 1937 Abdul Wahab Ariff mengambil inisiatif menubuhkan Malay Boys League yang bertujuan menyediakan dan melahirkan lebih ramai pelajar Melayu yang berjaya mendapat pingat emas. Beliau dipilih sebagai Kapten Liga tersebut. Beberapa ketika setelah penubuhan liga, Abdul Wahab diminta oleh guru besarnya untuk membubarkan Liga yang dipimpinnya dan dalam keadaan yang terpaksa, Abdul Wahab Ariff mematuhi arahan tersebut meskipun luahannya,


‘…..in my blood I still felt much concerned for the educational betterment of my fellow Malay students.’ meskipun begitu, ‘….Outside school I managed to organize another Malay Student League which was more of an educational and social organization.’ 3


Begitulah Abdul Wahab Ariff anak muda yang ketika itu berumur 18 tahun berjaya merintis penubuhan perkumpulan pelajar yang menjalankan usaha sendirian untuk meninggikan kualiti pelajaran dan pendidikan teman-temannya. Usahanya terpaksa dimatikan pada tahun 1939 apabila beliau dipilih melanjutkan pelajaran di King VII College of Medicine, Singapura.


KESATUAN PENUNTUT MELAYU VICTORIA INSTITUTION 1945


Penggunaan Bahasa Inggeris dan pemusatan sekolah di bandar menjadi ciri utama dalam sistem persekolahan menengah dan tinggi kolonial Inggeris di Tanah Melayu. Sebagai akibat daripada keadaan ini terdapatnya kelompok pelajar Melayu yang amat kecil pada kedua-dua peringkat persekolahan tersebut.


Untuk Keterangan Lanjut Sila pergi ke pautan : GPMS Kebangsaan