Jumaat, 7 Julai 2017

Harapan Martabatkan Bahasa Melayu ?

PERSIDANGAN Dewan Rakyat Merupakan sesuatu perkara yang di nantikan oleh setiap rakyat marhein di Malaysia bagi melihat setiap ahli parlimen berbahas.

Banyak isu yang telah dibincangkan dengan rancak oleh setiap rakyat yang prihatin terhadap perkembangan perbahasan di Parlimen, termasuklah tentang tindak-tanduk dan butir bicara ahli-ahli Dewan Rakyat. Saya terpanggil untuk mendalami salah-satu perkara yang timbul amat ketara bagi mereka yang setia mengikuti sidang Parlimen.

Seperti yang semua sedia maklum, Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang wajib digunakan dalam kesemua urusan rasmi. Dalam penghakiman kes Merdeka University Bhd. v. Government Of Malaysia di peringkat Mahkamah Tinggi, yang telah diputuskan oleh Hakim ­Eusoffe Abdoolcader pada 7 November 1981, ‘urusan rasmi’ ditakrifkan sebagai merujuk kepada, antara lain, tindakan oleh sesuatu pihak berkuasa berkanun yang menjalankan kuasa yang diberikan kepadanya melalui peruntukan undang-undang Persekutuan atau negeri.

Takrifan ini selari dengan peruntukan Perkara 152(6) yang menyebut: ‘Maksud rasmi’ ertinya apa-apa maksud kerajaan, sama ada Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri, dan termasuklah apa-apa maksud sesuatu pihak berkuasa awam.

Inilah peruntukan yang perlu dihormati dan dimartabatkan tinggi oleh keseluruhan warganegara Malaysia terutama sekali oleh mereka yang berdiri di atas kuasa yang diberikan melalui peruntukan undang-undang. Mengikut takrifan dalam kes Merdeka University Bhd., persidangan Dewan Rakyat adalah antara urusan rasmi yang memerlukan pemakaian tegas peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Atas dasar ini jugalah ahli-ahli Dewan Rakyat tertakluk kepada Peraturan 8, Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat yang menyebut: “Bahasa rasmi Majlis ialah Bahasa Malaysia (sic), tetapi Tuan Yang di-Pertua boleh membenarkan penggunaan bahasa Inggeris.”

Maka secara harafiahnya, bahasa Melayu wajib dipakai oleh ahli-ahli Dewan Rakyat baik daripada pihak kerajaan atau pihak pembangkang. Malangnya, acap kali dapat kita dengar bahawa ramai ahli Dewan Rakyat yang lebih gemar menggunakan bahasa Inggeris di Parlimen ­terutama apabila mereka menanyakan soalan lisan. Trend ini sa­ngat membimbangkan kerana setelah hampir 60 tahun merdeka, ahli-ahli Parlimen kita masih tidak menghormati identiti kebangsaan yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Saya akui bahasa Inggeris boleh digunakan setakat mana Yang di-Pertua Dewan Rakyat membenarkan penggunaannya. Namun, seharusnya ruang untuk berbahasa ­Inggeris di dalam Parlimen Malaysia dihadkan hanya kepada beberapa ungkapan yang tidak boleh diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu. Hakikatnya, masih ramai ahli Parlimen yang selesa berbahas hampir keseluruhannya dalam bahasa Inggeris asalkan di pertengahan perbahasan mereka, disulami dengan ungkapan ‘Dengan izin, Tuan Speaker’.

Adakah nilai bahasa kebangsaan negara ini duduknya sebegitu rendah hinggakan ungkapan ini dilihat keramat dan dapat memaafkan kebiadaban kita terhadap identiti kebangsaan yang termaktub dalam undang-undang? Agak janggal untuk rakyat Malaysia menonton bagaimana wakil rakyat masing-masing berdegar-degar berbahas dalam bahasa Inggeris sedang pada mereka masih mengharapkan agar rakyat yang mereka wakili dapat menghormati bahasa kebangsaan.

Ahli-ahli Parlimen ini seperti sekadar mengambil muka apabila hal ini diketengahkan walhal hakikatnya roh undang-undang negara ini tidak dihormati dan diperkotak-katikkan mengikut keselesaan mereka. Seharusnya mereka yang mewakili suara rakyat yang mengundi mereka menunjukkan teladan yang baik, sebaliknya mereka pula yang angkuh dengan meletakkan bahasa Inggeris lebih tinggi martabatnya daripada bahasa kebangsaan.

Sama jugalah perihalnya dengan ahli-ahli Parlimen yang tidak mampu untuk berbahas menggunakan bahasa Melayu dengan fasih. Perkara ini memalukan kerana terdapat beberapa kejadian di mana apa yang diperkatakan wakil rakyat tidak dapat difahami atau kedengaran kekok dek kerana telor (pelat) mereka yang terlalu pekat. Belum lagi disebut tentang kekasaran bahasa yang digunakan dalam dewan yang berdiri atas amanah rakyat. Di mana letakkan maruah negara ini jika kita diadili berdasarkan tindak-tanduk dan butir bicara ahli-ahli Parlimen kita?

Jika negara ini hendak melihat identiti kebangsaan yang menyantuni budaya ketimuran dihidupkan ­melangkaui apa yang wujud di batasan peruntukan undang-undang, setiap rakyat yang menggelarkan diri mereka warganegara Malaysia harus memainkan peranan masing-masing. Niat ini wajar dimulakan dengan mereka yang diberi kuasa untuk mengolah masa depan undang-undang negara ini.

Sikap segelintir ahli parlimen yang lihat seperti tidak menghormati peranan bahasa kebangsaan kadangkala mengguris hati rakyat Malaysia. Jika ahli parlimen sendiri tidak menghormati dan berbicara Bahasa Melayu dengan lancar siapa lagi yang kita harapkan untuk memartabatkan Bahasa Melayu. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan