Selasa, 29 April 2014

Gpms Melaka Bantah Himpunan 1 Mei

Sehingga kini, pelbagai pihak termasuk Gpms Melaka yang di ketuai oleh Tuan timb Pengerusi Ustaz Abdul Rahim Hj Yusoff telah menyuarakan bantahan dan membuat laporan polis mengenai perhimpunan haram yang akan diadakan pada 1 Mei ini. Pihak termasuk peniaga, pemandu teksi, pihak berkuasa seperti polis, pemimpin kerajaan dan badan bukan kerajaan juga memainkan peranan dalam membuat bantahan perhimpunan ini. Bagaimanapun, kumpulan pengacau ini tetap berdegil untuk meneruskan juga agenda mereka untuk turun di jalanan.

Kumpulan ini cuba menghalalkan tindak-tanduk mereka dengan menjadikan rakyat sebagai perisai, tanpa memikirkan kesan negatif yang akan timbul daripada tindakan mereka. Perhimpunan haram yang berlaku di Thailand, Indonesia dan Timur Tengah jelas memperlihatkan impak negatif yang sangat besar terhadap kestabilan politik, perpaduan dan menjejaskan pertumbuhan ekonomi, selain merencatkan peningkatan kehadiran pelancong di negara terbabit. Apa yang lebih membimbangkan, ada pihak luar yang mengambil kesempatan dan ini boleh menjejaskan imej negara di mata dunia.

Lebih malang lagi, tindakan tidak bertanggungjawab pihak pengacau itu turut membawa kesusahan terhadap golongan warga emas, wanita dan kanak-kanak yang tidak berdosa. Golongan peniaga juga akan terjejas teruk sehingga terpaksa menanggung kerugian besar ekoran rusuhan yang terjadi ketika kumpulan pengacau ghairah berdemonstrasi.

Jika penganjur menyatakan tujuan perhimpunan haram ini untuk membantah GST kenapa ia tidak dibawa mengikut saluran yang betul, iaitu menyerahkan kepada menggunakan saluran undang-undang atau parlimen di dewan raktat untuk menuntut atau menegakkan keadilan seperti yang diperjuangkan. Malah, kerajaan sendiri telah menyatakan kesudian untuk mendengar tuntutan dan pandangan kumpulan pengacau ini.

Ada yang berpandangan berhimpun itu suatu bentuk kebebasan yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan. Namun sejauh manakah keberkesanan pihak penganjur untuk menjamin demonstrasi yang dijalankan tidak akan mendatangkan kemudaratan kepada banyak pihak, khususnya rakyat di sekitar Kuala Lumpur. Jika kita amati, berdasarkan pengalaman lalu, perhimpunan seumpama ini telah mengundang terlalu banyak impak buruk kepada negara apabila demonstrasi dijalankan di jalanan. Pihak yang berkepentingan tentunya tidak meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan dalam hal ini.

Kalau disoroti pengalaman dahulu, pihak berkuasa seperti polis dan pasukan anti rusuhan seperti FRU dilabel sebagai tidak berperikemanusiaan terhadap aktivis yang berdemonstrasi. Wartawan asing dan media yang menyokong agenda perjuangan parti tertentu ternyata membuat liputan berat sebelah apabila hanya menyiarkan sedutan rakaman yang menggambarkan pihak berkuasa bertindak ganas menghuraikan perhimpunan yang diadakan.

Antara aspek yang perlu diberi perhatian oleh golongan yang degil ini adalah kerugian yang bakal ditanggung banyak pihak jika demonstrasi haram ini diteruskan. Presiden Persatuan Pemandu Teksi Lembah Klang, Datuk Aslah Abdullah mendakwa seramai 21,000 pemandu teksi di Lembah Klang akan mengalami kerugian RM3.2 juta sehari. Itu baru pemandu teksi. Bayangkan berapa besar jumlah keseluruhan kerugian yang terpaksa ditanggung golongan peniaga dan individu di sekitar lokasi yang disasarkan pihak berkenaan untuk berdemo?

Perlukah kita mengikut adunan cara dari timur tengah dan barat yang melakukan demo setiap kali tidak berpuas hati kepada sesuatu isu sehingga menggugat keharmonian dan menggulingkan kerajaan ? Masih tidak relevankah ahli parlimen dan politik yang memperjuangkan hak mereka ?

Akhbar Utusan Malaysia bertarikh 3 Ogos 2009 melaporkan, peniaga di sekitar ibu negara menanggung kerugian sekurang-kurangnya RM100 juta akibat demonstrasi membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang didalangi oleh pihak yang sama sehari sebelumnya. Menurut Menteri Wilayah Persekutuan, Senator Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin yang meninjau lokasi terbabit, anggaran awal jumlah kerugian itu dibuat berdasarkan aduan yang diterima daripada para peniaga. Peniaga di Lorong Tuanku Abdul Rahman sahaja, menanggung kerugian dianggarkan berjumlah RM3 juta.

Soalnya, sanggupkah penganjur perhimpunan itu membayar pampasan dan kerugian kepada golongan peniaga ini? Atau, adakah pihak penganjur akan sekali lagi bersikap lepas tangan dan menyalahkan pihak berkuasa sekiranya berlaku rusuhan dan kerosakan harta benda awam akibat kedegilan dan kerakusan kumpulan berkenaan.


Ketua Penerangan Gpms Melaka
Mohd Saifullah b Hj Dolmat


posted from Bloggeroid

Isnin, 21 April 2014

Permata Melayu yang hilang

Adakah bahasa ibunda masih hidup? Apakah bahasa ibunda masih lagi relevan? Apakah anak muda seperti masih lagi memandang tinggi dan bangga akan bahasa ibunda?

Khir Johari telah menukar penggunaan tulisan jawi kepada rumi pada tahun 1966 ketika beliau memegang jawatan sebagai menteri pelajaran.Tindakan Khir Johari tidaklah dianggap sebagai cerdik, berani atau progressif dan hanyalah insan yang membunuh warisan tulisan jawi.Siapa harus dipertanggungjawabkan atas kejahilan bangsa dalam membaca tulisan jawi ?

Hari ini saya melihat anak-anak Melayu seolah-olah sesat dalam perjalanan mencari identiti.Setiap bangsa mempunyai ras,bahasa dan budaya mereka.Tidak ketinggalan Melayu yang asalnya mempunyai identiti sendiri.Ya benar, tulisan jawi itu asimilisasi dari abjad arab dan rumi datang dari abjad Inggeris. Ini memang tidak dapat dinafikan kedua-duanya adalah asimilisasi dari identiti bangsa lain, tetapi bagi saya tulisan jawi merupakan lambang persaudaraan antara bangsa melayu dan bangsa arab ketika itu.Tulisan melayu Jawi tidak seharusnya dibunuh kerana ia adalah warisan sejarah identiti bangsa Melayu.

Ini berkait rapat dengan teori kedatangan Islam ke nusantara yang diperkenalkan John Crawford disokong oleh Syed Naquib yang berteori bahawa Islam datang dari tanah arab.Hujahnya jika dilihat tulisan jawi merupakan asimilisasi tulisan arab maka mereka bersetuju Islam itu datang dari tanah arab itu sendiri.Jika kita biasa dengan nama Hamzah Fansuri, Nuruddin al Raniri, dan Abdul Samad al Palembangi, mereka ini adalah ulama nusantara yang menulis kitab mereka di dalam tulisan

Sejak akhir ini saya melihat bahawa anak Melayu semakin jauh sesat dalam mencari identiti. Nama yang diberi ibubapa seolah-olah mengiyakan kesesatan dalam mencari identiti, maka lahirlah golongan anak Melayu moden hasil dari tulisan rumi yang yang menulis Bahasa Melayu seakan tidak pernah diajar tatabahasa. Penggunaan bahasa SMS dan rojak merosakkan lagi martabat bahasa Melayu.

Bukannya saya menentang tulisan rumi, cuma bertanya kita ini bangsa apa dan apa identiti kita ? Bukanlah mahu berbangga akan bangsa cuma risau akan identiti bangsa ini semakin terhakis.Ketika orang Jepun maju dengan bahasa mereka, ketika India terus mundur dengan bahasa Inggerisnya, ketika Melayu sesat dalam identitinya.Cuma kadang saya terfikir jika terus menggunakan jawi, bahasa seperti di atas mungkin tidak wujud.Mungkin ini bangsa baru pecahan dari Melayu.Apa pun yang berlaku, penggunaan bahasa Inggeris sebagai nama pertubuhan yang memperjuangkan bangsa melayu seperti UMNO (United Malays National Organisations) merupakan kesilapan yang paling ketara tercatat dalam perjalanan bangsa Melayu mencari identiti perjuangan bangsa.Tidak sesuai penggunaan nama PEKEMBAR (Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu ) yang secara terang dan bersuluh membawa ideologi dan jatidiri perjuangan Melayu ?

Buat pemimpin Melayu perlu di ingatkan siapa yang akan menjulang bahasa Melayu jika bukan anak bangsanya.Kita buka mata hati kita dan renung semula apa lagi yang tinggal untuk anak bangsa selain tulisan jawi dan bahasa Melayu.
Bahasa jiwa bangsa.

Mohd Saifullah b Hj Dolmat
Ketua Penerangan Gpms Melaka


posted from Bloggeroid

Sabtu, 19 April 2014

Relevankah pendidikan vernakular ?

Mewujudkan masyarakat yang utuh diikat oleh nilai kebersamaan yakni nilai kebangsaan atau nilai nasional masih merupakan cita-cita yang tidak tercapai. Malah semakin hari nilai kebangsaan ini semakin diperkecilkan oleh pihak tertentu yang cenderung mengobarkan chauvinisme. Akhirnya sehingga hari ini masyarakat Malaysia wujud sebagai suatu bentuk masyarakat selari atau parallel society, iaitu masyarakat yang hidup dalam negara yang sama tetapi berjuang dan bergerak dalam kepentingan kelompok atau kaum masing-masing. Lebih buruk lagi setiap kelompok kaum meletakkan kepentingan kelompok kaum masing-masing di atas kepentingan nasional.

Banyak faktor yang membawa kepada perpecahan dan perjuangan kepentingan kelompok kaum ini antaranya warisan kolonial, politik, ekonomi, sosial, pendidikan dan sebagainya. Namun apa yang paling malang ialah sehingga hari ini Malaysia masih tidak mampu untuk mewujudkan suatu sistem pendidikan kebangsaan yang benar-benar bersifat satu bangsa, satu bahasa dan satu negara.

Sebaliknya sistem pendidikan Malaysia mewujudkan sistem pendidikan majmuk yang berakar dari zaman kolonial dan zaman imigran yang anakronisme, yakni sudah tidak berada dalam zamannya lagi. Sistem pendidikan kebangsaan menjadi sesuatu yang janggal apabila berada selari dengan pendidikan vernakular yakni sekolah Cina dan Tamil yang terletak ’di luar’ sistem pendidikan kebangsaan itu sendiri.

Malah lebih janggal lagi apabila institusi pendidikan vernakular ini memberikan saingan secara terang-terangan kepada institusi pendidikan kebangsaan, sehingga dalam keadaan tertentu ia seperti berada dalam keadaan ’memperkecil dan memusuhi’ sistem pendidikan kebangsaan. Walaupun sistem pendidikan vernakular ini diiktiraf dan diperakui dengan termaktubnya Akta Pendidikan 1996, tetapi timbul persoalan apakah wujud keperluan untuk mempertahankan sistem pendidikan vernakular dalam melihat kepentingan dan sumbangannya terhadap perpaduan masyarakat Malaysia yang lebih besar dan menyeluruh.

Sejarah pendidikan vernakular sebenarnya lebih terarah kepada sistem pendidikan Cina yang wujud pada awal abad ke-20 di Semenanjung Tanah Melayu atau Malaya ketika itu. Teras sebenar kepada sistem pendidikan vernakular yang memperteguhkankeberadaan situasi parallel society ini sebenarnya terletak kepada gerakan dan sejarah pendidikan Cina di Malaysia. Menurut Cheong Yuen Keong dalam bukunya Gerakan Pendidikan Cina di Malaysia: Satu Kajian Tentang Perjuangan Dong Jiao Zong(1970-2002) menyatakan bahawa gerakan pendidikan Cina merupakan satu perjuangan sosial yang menuntut agar pendidikan bahasa ibunda Cina dikekalkan. Gerakan ini berjaya mendapat penyertaan dan dukungan daripada masyarakat Cina dan berlanjutan dalam jangka waktu yang panjang serta membawa kesan dan pengaruh yang luas.

Gerakan ini berasal dari akar umbi dan dipimpin oleh satu kumpulan kepentingan atau interest group iaitu Dong Jiao Zong. Perjuangannya pada peringkat awal adalah untuk mendapatkan pengiktirafan terhadap pendidikan Cina dalam sistem pendidikan negara. Kini ia berperanan sebagai kumpulan pendesak dalam penggubalan dasar kerajaan yang berkaitan dengan pendidikan Cina.

Sejarah pendidikan Cina bermula dengan penghijrahan orang Cina ke Tanah Melayu yang membawa bersama penubuhan sekolah Cina di merata tempat sekitar awal abad ke-20. Pada mulanya kerajaan kolonial British membiarkan penubuhan sekolahvernakular terutamanya sekolah Cina ini, tetapi pada tahun 1920 British memperkenalkan Ordinan Pendaftaran Sekolah 1920 yang dilaksanakan untuk mewajibkan pendaftaran semua sekolah dan guru agar kerajaan British dapat mengawal sekolah Cina. Hal ini mendapat tentang daripada guru-guru dan pemimpin sekolah Cina, lalu mengemukakan petisyen kepada kerajaan British di Tanah Melayu dan Pejabat Luar Negeri di London untuk memansuhkan ordinan tersebut.

Kerajaan British tidak bersedia menarik ordinan tersebut sebaliknya membawa lima orang wakil pendidikan Cina Singapura ke mahkamah dan kemudian dihukum dengan dihantar pulang ke negara China. Pada zaman Jepun, sekolah Cina telah diharamkan sama sekali. Setelah perang berakhir, British kembali berkuasa di Tanah Melayu dan mula mengambil langkah yang lebih bersifat jangka panjang dalam sistem pendidikan. Kerajaan British melihat bahawa sekolah Cina dan sekolah vernakular adalah faktor utama yang menghalang penyatupaduan masyarakat berbilang kaum di Tanah Melayu. Maka British mengambil pendekatan untuk menyekat perkembangan sekolah Cina. British mengemukakan Cheeseman Annual Report on Education in the Malayan Union 1946 dan Laporan Pendidikan Holgate 1950 untuk mewujudkan sistem persekolahan yang seragam kepada semua kaum di Tanah Melayu.

Pada tahun 1946, sudah terdapat 1078 buah sekolah Cina dengan pelajar berjumlah 168,303 orang di Tanah Melayu. Pentadbir dan guru sekolah Cina telah mengadakan mesyuarat peringkat negara di Singapura pada 6 Mei 1946, lalu membentuk Jawatankuasa Bimbingan Pemulihan Sekolah Malaya untuk memulihkan sekolah Cina. Jawatankuasa ini merupakan landasan kepada penubuhan Jiao Zong lima tahun kemudiannya. Dalam merealisasikan sistem pendidikan kebangsaan yang bertujuan menggalakkan integrasi kaum dan seterusnya membawa kepada pembinaan bangsa, British telah mengemukakan Laporan Barnes pada 10 Jun 1951.

British seterusnya menyeru masyarakat Cina dan India agar menerima sistem pendidikan kebangsaan yang bersifat satu aliran ini. Laporan Barnes mengemukakan syor agar sistem pendidikan vernakular dimansuhkan dan digantikan dengan sekolah kebangsaan yang menggunakan bahasa Inggeris dan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

Sekolah kebangsaan akan diberikan kemudahan yang terbaik agar menjadi sekolah yang paling bermutu. Masyarakat Melayu menerima Laporan Barnes sebagai sesuatu yang baikbagi perkembangan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta permulaan untuk melakukan reformasi yang menyeluruh dan bersifat kebangsaan dalam sistem pendidikan. Namun guru-guru sekolah Cina dan pihak yang bersimpati dengan mereka menentang dengan keras cita-cita untuk mewujudkan sistem pendidikan kebangsaan ini sepertimana yang dikemukakan oleh Laporan Barnes.

Satu konvensyen Persatuan Guru-guru Cina seluruh Malaya diadakan di Dewan Besar Persatuan Hokkien Kuala Lumpur pada 24-25 Ogos 1951 untuk membantah Laporan Barnes. Konvensyen ini telah membawa kepada usul penubuhan Gabungan PersatuanSekolah Cina Se-Malaya iaitu Jiao Zong yang dirasmikan pada 26 Disember 1951.

Jiao Zong menjadi kubu serta landasan untuk melancarkan penentangan serta tuntutan dalam memperjuangkan kelangsungan pendidikan sekolah Cina di Tanah Melayu. Selain menghantar memorandum dan petisyen, Jiao Zong juga telah berusaha mendapatkan sokongan masyarakat Cina, institusi masyarakat Cina, dan parti politik masyarakat Cina di Tanah Melayu sehingga menjadikan Jiao Zong sebagai ’gergasi yang perkasa’ dalam perjuangan gerakan pendidikan Cina di Tanah Melayu sebelum kemerdekaan, dan membawa kepada era kemerdekaan.

Sejarah awal gerakan pendidikan Cina di Tanah Melayu pada era pemerintahan British menunjukkan tentang keinginan yang sangat kuat golongan berpendidikan dan berpengaruh masyarakat Cina untuk mewujudkan sistem pendidikan Cina yangtersendiri, serta tidak bercampur dengan masyarakat lain khususnya masyarakat Melayu yang merupakan masyarakat peribumi.

Keinginan dan cita-cita untuk mempertahankan sikap chauvinisme ini selalunya disembunyikan dengan slogan memperjuangkan bahasa ibunda dan budaya masyarakat Cina. Namun pada hakikatnya golongan elit yang merupakan kumpulan kepentingan ini berjuang untuk mewujudkan suatu bentuk parallel society yang bergerak seperti serampang dua mata; iaitu mewujudkan masyarakat Cina yang terpisah melalui sistem pendidikan dan pada masa yang sama menjaga kepentingan ’ekonomi perkauman’ yang menentukan kelangsungan hidup masyarakat Cina di Tanah Melayu.

Pemimpin harus di ingatkan gunakan kuasa politik yang ada untuk membela anak bangsa dan pribumumi.Jangan di biarkan sekolah vernakular menjadi duri dalam daging dalam mewujudkan semangat perpaduan dan rekonsilasi nasional .Usah manjakan mereka dengan peruntukkan yang banyak menjelang sahaja pilihanraya akhirnya menyebabkan sekolah kebangsaan di anak tirikan.

"Belajar terus Belajar"

Mohd Saifullah b Hj Dolmat
Ketua Penerangan Gpms Melaka


posted from Bloggeroid

Jumaat, 18 April 2014

Rasional Sistem Meritokrasi buat anak bangsa

Meritokrasi adalah satu sistem sosial yang menyanjung tinggi kebolehan dan keupayaan seseorang tanpa mengira pangkat,keturunan, kaum dan agama.Sistem ini telah lama diaplikasikan dalam sistem pendidikan di Negara kita ,Malaysia.Pengambilan para pelajar ke sekolah berasrama penuh adalah berdasarkan pencapaian mereka di dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR),Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).Kaedah ini dianggap sesuai oleh semua pihak memandangkan kekosongan yang ada di sekolah berasrama penuh dan universiti-universiti tempatan adalah terhad.
Pada bulan Mei 2001 masyarakat Malaysia dikejutkan dengan isu sistem kuota pengambilan pelajar memasuki institusi pengajian tinggi awam(IPTA).Saya secara umumnya membantah sekeras-kerasnya jika sistem meritokrasi ini dilaksanakan.Sebenarnya tanpa mereka sedari sistem ini telah diguna pakai sejak lama dahulu.Jika kemasukkan pelajar bukan berdasarkan kecemerlangan(meritokrasi) dalam akedemik mereka,cara apakah yang kita gunakan sekarang? Oleh itu sistem ini adalah yang terbaik untuk membuktikan para pelajar hasilan Malaysia adalah berkualiti tanpa mengharapkan kuota semata-mata.

Sesungguhnya dalam melaksanakan agenda pendidikan kebangsaan para pemimpin,pelajar dan masyarakat perlu mengkaji pro dan kontranya sesuatu isu tersebut sebelum menerima dan melaksanakannya dalam pendidikan.

Berikut adalah kebaikannya, sistem ini para pelajar dapat bersaing secara sihat untuk mendapat atau merebut peluang yang ada di hadapan mereka.Tiada kaum yang akan mempertikaikan kemasukkan kaum-kaum lain ke institut pengajian tinggi awam.
Institut pengajian tinggi awam dapat melahirkan graduan yang benar-benar mahir dalam bidang yang diambil oleh para pelajar.Ini kerana pelajar sentiasa berusaha dengan sedaya upaya untuk membuktikan kebolehan mereka
Para pelajar di luar bandar juga akan mendapat faedah yang banyak kerana jika sistem ini dilaksanakan sudah pasti pihak kerajaan akan mewujudkan prasarana yang lebih baik seperti wujudnya kelas/bilik komputer yang lengkap dengan peralatan terkini,perpustakaan yang mempunyai buku-buku rujukan yang berkualiti dan terkini serta lain-lain kemudahan yang difikirkan sama dengan sekolah bandar.

Tetapi di sebalik kebaikan sesuatu sistem itu , ada juga terselit keburukkannya.Secara umumnya masyarakat Melayu pasti akan menentang sistem ini secara sekeras-kerasnya ini kerana sistem ini akan menyebabkan mereka hilang hak keistimewaan orang-orang Melayu seperti yang dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan Perkara 153(1) dan (2).
Isu ini juga amat sensitif untuk dibicarakan dan boleh menyebabkan kontrovesi dan ketegangan di antara kaum dan kita sudah tentu tidak mahu melihat Peristiwa 13 Mei di mana kaum Cina berbunuhan dengan kaum Melayu secara beramai-ramai berulang kembali.
Jika sistem meritokrasi ini dilaksanakan sekolah-sekolah di luar bandar seperti di kampung-kampung dan felda ,pihak kerajaan perlulah mengeluarkan belanja yang banyak untuk membina atau menyediakan prasarana seperti yang terdapat di sekolah-sekolah di bandar-bandar contohnya menyediakan bilik-bilik komputer yang lengkap,perpustakaan yang lengkap,bilik-bilik darjah yang sempurna.Ini kerana untuk mewujudkan persamaan, peluang terlebih dahulu perlu diwujudkan persamaan kemudahan.Jika para pelajar di bandar ada menghadiri kelas tambahan pihak kerajaan juga perlu mengambil inisiatif untuk mengadakan kelas tambahan untuk para pelajar di kampung.Aspek-aspek lain juga perlu di kaji secara mendalam supaya sesudah perlaksanaannya tidak timbul sebarang implikasi.
Selain merit dan kecemerlangan perlulah diberikan pertimbangan yang sama beratnya kepada faktor keperluan iaitu latar belakang,ekonomi,keluarga,sosial dan juga pendidikan pelajar-pelajar.Pada umumnya pelajar yang datang dari keluarga atau kawasan yang mundur di mana kemudahan pendidikan tidak begitu baik sukar hendak bersaing dengan pelajar dari kawasan maju atau keluarga kaya.
Sekiranya hanya kecemerlangan diambil kira dan tidak bersama-sama,maka ramai pelajar dari kawasan mundur atau keluarga miskin tidak kira Melayu,Cina,India,Kadazan,Iban dan lain-lain akan keciciran untuk melanjutkan pendidikan mereka.Akibatnya jurang sosio-ekonomi di antara yang kaya dengan miskin akan bertambah lebar.

Secara umumnya sistem ini sangat baik jika dapat dilaksanakan secara yang dihasratkan oleh kerajaan.Walaupun demikian sebelum sistem ini dijalankan dengan sepenuhnya,para ilmuan dan para pemimpin perlulah mencapai kata sepakat supaya dengan terlaksananya sistem ini bukanlah ianya dipengaruhi oleh agenda politik sempit mahupun seperti kata pepatah “Ada udang di sebalik batu”.Segala aspek keparluan fizikal dan mental perlulah dipersiapkan terlebih dahulu.Supaya tidak terjadi penindasan terhadap kaum-kaum tertentu seterusnya menjurus kearah perpecahan kaum yang telah kita pupuk sekian lama.Dalam masyarakat Malaysia yang berbudaya majmuk perlulah ada sikap bertolak ansur dalam menyelesaikan sesuatu isu supaya keharmonian di antara kaum dapat dikekalkan. Namun demikian sistem ini sangat ideal kerana ianya dapat melahirkan insan yang benar-benar berkebolehan tanpa dipengaruhi oleh kedudukan,pangkat,kaum dan agama.Sistem ini juga dapat meningkatkan daya saing di kalangan para pelajar terutamanya pelajar kaum seterusnya memajukan bangsa Melayu itu sendiri.Individu yang terhasil melalui sistem ini juga akan mementingkan kualiti kerja yang cemerlang.Suka juga diingatkan bahawa sikap orang Melayu yang mudah bertolak ansur akan memudaratkan hak keistimewan orang Melayu yang semakin terhakis ekoran desakkan demi desakkan kaum lain.Ada perkara yang bangsa lain perlu hormati (bangsa Melayu) dan ada perkara yang membolehkan orang Melayu bertolak ansur.

Buat pemimpin Melayu perlu di ingatkan Melayu sudah hilang kuasa ekonomi dan kini cuma tinggal kuasa politik sahaja.Gunakan kuasa itu untuk anak bangsa sebaik mungkin.

"Tak akan Melayu Hilang di dunia"

Belajar terus Belajar

Mohd Saifullah b Hj Dolmat
Ketua Penerangan Gpms Melaka



posted from Bloggeroid

Mencari Semangat Melayu yang layu

‘Melayu sebenarnya bangsa yang besar!’

Para pemimpin kita, datuk nenek kita, bijak pandai kita tidak pernah jemu-jemu mengulang frasa itu. Asal ada konvensyen, ada seminar, ada tempat untuk berucap, ada kertas untuk ditulis, ada ruang untuk bercakap dan ada orang bersedia mendengar, mereka akan mengulangi, atau setidak-tidaknya
menyelitkan sejarah kegemilangan lampau bangsa Melayu.

Tujuannya amat jelas. Mereka bermaksud untuk membangkitkan semangat bangsa mereka. Mereka mahu kita sama-sama sedar bahawa Melayu bukannya bangsa kecil yang boleh diperlekehkan. Melayu pernah gemilang. Melayu pernah hebat. Melayu pernah menjadi kuasa yang disegani dan digeruni.

Dasar pandang belakang ini dalam banyak keadaan memang membawa kebaikan. Setakat sekarang ia berjaya menghidupkan jiwa orang Melayu. Mampu mencetuskan semangat untuk ikut bersaing. Mampu membangkitkan impian kita untuk kembali menjadi besar seperti dahulu.

Tetapi kekerapan melihat ke belakang juga kalau tersilap diamalkan boleh mendepankan orang Melayu dengan masalah lain. Mereka mungkin lupa pada apa yang ada di depan. Mereka mungkin lupa untuk mengimbangkan antara kegemilangan silam dengan kemungkinan-kemungkinan yang bakal mendatang.

Di sinilah dilemanya sekarang. Dalam ghairah mengejar kegemilangan, yang pernah dimiliki tetapi kemudian hilang itu, Melayu sering lupa tempat berpijak dan berdiri. Dengan perkataan lain, Melayu mudah lupa diri.

Kenapa ini terjadi?

Jawapannya mungkin berbagai, tetapi satu di antara yang penting ialah, Melayu sebenarnya tidak kenal diri dan bila seseorang itu tidak kenal dirinya jangan hairanlah jika ia mudah kehilangan hala dan arah.

Cubalah buat kajian rambang, berapa kerat Melayu yang tahu asal keturunannya?

Tidak ramai. Kebanyakan Melayu cuma tahu salasilah keluarganya sehingga ke peringkat moyangnya sahaja. Jarang yang tahu lebih daripada itu. Malah bagi anak-anak Melayu generasi siber ini, ada yang sudah tidak tahu nama datuk atau neneknya sendiri.

Lakukanlah kajian yang sama ke atas mereka yang bukan Melayu. Kebanyakan keluarga Cina mempunyai rekod susur galur salasilah yang teratur. Jika mereka tidak menyimpannya secara peribadi, persatuan-persatuan yang mewakili nasab mereka akan melakukannya.

Seorang budak lelaki Cina barangkali boleh bercerita dengan baik bagaimana moyangnya dahulu meninggalkan Swatow dengan kapal yang sarat dengan ribuan penumpang bersama keping keping siling di saku. Tetapi jangan terkejut jika banyak budakbudak Melayu yang tidak tahu bagaimana bapanya mula merantau ke Kuala Lumpur sepuluh atau lima belas tahun lalu.

Apakah kesimpulan kasar yang boleh dibuat daripada kenyataan-kenyataan di atas?
Mudah. Ia mencerminkan sikap Melayu yang kurang cenderung melihat ke dalam dirinya.

Tidak mengambil berat tentang susur galur keluarga adalah gambaran terhadap tidak wujudnya perasaan menghargai keluarga sendiri. Dan orang yang tidak menghargai keluarga sendiri jarang sekali boleh diharap untuk menghargai bangsanya kerana bangsa sesungguhnya bermula daripada keluarga!

Semua orang tahu majoriti penduduk asal yang berketurunan Inggeris di Australia adalah penjenayah penjenayah yang dibuang negeri. Tidak lama selepas bermulanya penguasaan Inggeris ke atas pulau besar itu pada tahun 1778, Australia menjadi tempat humbanan segala jenis penjahat. Jika orang-orang Australia melihat salasilah keturunan mereka sehingga ke tarikh itu, sudah tentu mereka patut menutup muka setiap kali muncul di depan khalayak. Malah mereka mungkin berhak meludah kubur nenek moyang masing-masing.

Tetapi mereka tidak pula berbuat begitu. Sebaliknya orang Australia terbilang sebagai jenis manusia yang cukup berbangga dengan keturunannya. Untuk mengelak daripada dikaitkan dengan penjenayah-penjenayah buangan pada abad ke-18, mereka bersusah payah mencari susur galur keturunan mereka hingga ke akar umbinya. Mereka berusaha seberapa yang boleh untuk menghubungkan diri mereka dengan England, dan sekaligus menumpang kemegahan dan kedaulatan British. Mereka akan mencari jalan untuk mengaku keturunan Shakespeare walaupun hakikatnya mereka mungkin cucu cicit Kapten Kidd The Pirate.

Kesan langsung daripada sikap berbangga dengan keturunannya itu menyebabkan orang Australia memiliki keyakinan diri yang agak luar biasa sehingga mendorong mereka berani bertindak sebagai ‘timbalan polis dunia’ dalam banyak hal yang membabitkan hubungan politik antarabangsa di sekitar Asia Pasifik. Hakikatnya bukan mereka tidak sedar yang mereka tidak layak. Tetapi jiwa besar mereka menyebabkan penjajah tanah Aborigines itu mengenepikan realiti tersebut.

Jepun juga merupakan satu lagi bangsa yang tebal dengan nilai kebangsaannya. Dan nilai itu juga disemai melalui semangat menghargai keluarga sendiri. Dengan kepercayaan bahawa mereka adalah dan keturunan Maharaja Jimmu, yang berasal dan anak dewa matahari, orang Jepun tidak pernah mahu bertuankan sesiapa sahaja selain daripada matahari. Hasil daripada pemilikan keyakinan diri yang kuat, bangsa yang kecil dan pendek itu, akhirnya bangkit menjadi kuasa besar di dunia walaupun realitinya daripada segi kurniaan alam, Jepun memiliki sumber semula jadi yang sangat terhad dan hanya 20 peratus daripada muka buminya sesuai untuk kerja-kerja pertanian.

Jangan pula kita lupa pada golongan Baba Peranakan di Melaka. Selepas beberapa generasi berada di bumi Melayu ini mereka masih kekal dengan identiti asal. Walaupun banyak menyerapkan budaya Melayu dalam kehidupan harian, namun golongan tersebut tidak menyingkirkan terus keperibadian warisan mereka. Mereka terus kelihatan Cina dalam terlalu banyak perkara.

Orang-orang China yang menguasai China Town di beberapa kota besar dunia juga terkenal dengan keupayaan mengekalkan identiti mereka. Kelompok Cina di London, New York dan Los Angeles misalnya, tidak pernah mengalah pada tekanan-tekanan budaya yang mereka hadapi setiap saat. Pengaruh budaya barat yang begitu kuat jelas tidak mampu menembusi ketaksuban mereka pada budaya sendiri. Hasilnya, jika anda melangkah masuk ke premis mereka, anda akan mendapati suasananya tidak banyak berbeza dengan apa yang ada dalam premis-premis kediaman di Beijing, Hefei atau Zhengzhou. Mereka masih bertutur dalam bahasa Cina, malah sesetengah generasi tuanya tidak boleh berbahasa Inggeris. Mereka juga masih menggunakan alat-alat dekorasi Cina dan mengamalkan adat resam nenek moyang yang dibawa bersama beratus tahun dahulu.

Satu faktor yang memungkinkan kenapa orang Melayu tidak begitu berminat untuk menjenguk ke akar umbi keluarga dan keturunannya ialah soal assabiyah. Sebagai penganut Islam yang taat, orang Melayu mungkin beranggapan, membanggakan keturunan adalah satu unsur assabiyah – unsur yang ditolak oleh Islam kerana nilai puak dan kesukuannya.

Tetapi Melayu yang bijak sepatutnya melihat assabiyah dalam konteks yang lebih luas, bukannya asabiyah-jahiliyah. Kita tidak menganjurkan mereka menjadi pengamal jingo nasiolisme yang serba sempit. Menyayangi dan menghargai keluarga serta keturunan sendiri tidak harus disamakan dengan orang lain yang lebih berhak.

Kerana tidak menghargai keluarga dan keturunan, Melayu juga akhirnya tidak mempedulikan sangat asal bangsanya. Mereka seringkali tidak pernah mahu tahu dari mana orang Melayu bermula. Sehingga sekarang amat sedikit sarjana Melayu yang mahu mengembara mencari titik mula bangsanya. Kebanyakan mereka lebih sibuk dengan agenda politik semasa. Menyiapkan kertas kerja bagi sebuah projek perdana sentiasa dianggap lebih baik daripada menyempurnakan kajian tentang salasilah bangsa sendiri.

Sampai sekarang, apabila bercakap tentang asal usul orang Melayu masih kabur dan keliru. Ada yang percaya bangsa sawo matang ini asalnya dari Yunnan dan tidak kurang yang percaya ia bermula dari pulau-pulau di Tenggara Asia. Yang mengaitkan Melayu dengan keturunan Iskandar Zulkarnain di Macedonia pun ada. Dalam pada itu ada pendapat lain menyatakan manusia Melayu sebenarnya bermula di sini, di bumi ini, bukannya di tempat-tempat lain. Pendeknya, tidak ada satu pun yang jelas.

Kurangnya kepekaan terhadap faktor salasilah ini menyebabkan tidak ramai orang Melayu sedar bahawa mereka mempunyai sejarah yang cukup gemilang. Lingkungan pulau-pulau yang dikuasai oleh mereka – apa yang dinamakan Malay Archipelago – adalah kelompok pulau yang paling luas di dunia, dengan panjangnya melebihi 6,100 km. dari Lautan Hindi ke barat daya Lautan Pasifik.

Ada beberapa pendapat menyebut, orang Melayu telah muncul sejak lebih 5,000 tahun dahulu. Pendapat itu dikuatkan dengan kisah seorang anak raja Byzantium, sebuah wilayah terkenal dalam pemerintahan kerajaan Greek Purba yang kononnya telah pernah singgah di Kedah ketika dalam pelayarannya ke negeri China. Di Kedah, anak raja itu dikatakan telah melihat apa yang ditafsirkan oleh sesetengah ahli sejarah sebagai tamadun yang cukup tinggi.

Mengambilkira bahawa Byzantium hanya wujud pada kurun ke-7 Sebelum Masehi, pendapat di atas mungkin boleh dipersoalkan. Ia mungkin bersifat epik dan mitos semata-mata.

Tetapi masih ada bukti lain yang boleh dipakai untuk menunjukkan bahawa usia bangsa Melayu mungkin telah mencecah 5,000 tahun. Bukti itu tersembunyi di sebalik sejarah perkembangan Bahasa Melayu sendiri.

Bahasa Melayu yang termasuk dalam kelompok bahasa bahasa Austronesia adalah sebahagian daripada antara 600 hingga 1,000 bahasa yang terdapat dalam kumpulan yang sama. Semua bahasa ini, daripada yang dituturkan oleh penduduk Kepulauan Solomon, Vanuatu, Kiribati, Tonga, Samoa dan pelbagai pulau lain hinggalah ke bahasa yang digunakan sehari-harian oleh kita di Malaysia dan di Indonesia, adalah berasal dan satu bahasa atau dialek yang sama, yang dinamakan Proto-Austronesian. Dan Proto-Austronesian dipercayai telah digunakan lebih 5,000 tahun dahulu! Ertinya nenek moyang orang Melayu memang telah wujud semenjak 3,000 tahun Sebelum Masehi.

Sehingga sekarang bahasa Melayu masih merupakan salah satu bahasa utama di dunia. Ia dituturkan oleh lebih 150 juta manusia, khususnya di Indonesia dan di Malaysia. Dan kalau betul ‘bahasa menunjukkan bangsa’ ianya bermakna bangsa Melayu sebenarnya merupakan bangsa yang besar.

Tetapi bolehkah kenyataan itu digunapakai? Sukar untuk dijawab.

Wallace dalam ‘Malay Archipelago’ mengkelaskan Melayu pada tiga kategori iaitu orang Benua, orang Laut dan orang Melayu (jati). Orang Benua, yang dianggapnya tidak bertamadun, dikatakan menguasai kawasan di sekitar Sumatera dan daerah-daerah pendalaman bertanah tinggi di Melaka. Orang Laut pula, menurut Wallace, hidup dalam keadaan separa-bertamadun dan mereka mendiami kawasan pantai. Antara ketiga-tiganya, Orang Melayu merupakan yang paling terkehadapan daripada segi tamadun dan mereka ini termasuklah orang Jawa dan orang Melayu jati.

Bagi orang yang mudah terpesona dengan angka, mereka mungkin boleh menepuk dada jika dikatakan bahawa jumlah orang Melayu di seluruh dunia dianggarkan lebih 500 juta orang atau kira-kira sembilan peratus daripada jumlah penduduk dunia. Angka ini meliputi semua Melayu yang berada di Malaysia, Indonesia, Filipina, Madagascar, Maldives, Afrika Selatan, Kampuchea dan pelbagai pelosok dunia yang lain.

Ini merupakan satu lagi musibah yang berpunca daripada tiadanya perasaan mahu menghargai keturunan sendiri. Berbanding dengan bangsa lain, orang Melayu amat mudah kehilangan identiti. Sementara orang-orang Cina, biar di mana pun mereka berada, akan kekal dengan imej Cinanya, orang Melayu akan segera hilang imej Melayunya selepas dua tiga keturunan berada di tempat orang.
Contoh paling jelas barangkali boleh dilihat di Afrika Selatan, di mana orang-orang Melayu di sana kian dihakis oleh persekitarannya. Mereka, kebanyakannya dari tanah Jawa mula sampai di bumi ‘gelap’ itu pada tahun 1667 sebagai orang buangan dan abdi penjajah Belanda. Bagi suatu tempoh yang agak lama mereka mampu bertahan. Bagaimanapun menjelang abad ke-19, imej Melayu mereka semakin menjadi tipis. Mereka mula beradun dengan pengaruh Arab, India, Sri Lanka, China dan tidak terkecuali Eropah. Bahasa asal mereka mula hilang pada sekitar 1850-an. Perkataan-perkataan Melayu tidak lagi mampu berdiri sendiri sebaliknya diserap, dan kemudian tenggelam dalam bahasa Afrikaans.

Bandingkanlah keadaan mereka dengan orang-orang Malabar yang sudah beberapa keturunan berkampung mencari makan di London atau di Hongkong. Jika contoh itu tidak memadai, lihatlah pula bagaimana keadaan anak-anak Melayu yang bermastautin di London sejak lima atau enam puluh tahun lalu. Belum habis satu keturunan sudah ada antara mereka yang tidak boleh berbahasa Melayu lagi.

Kenapa ini terjadi? Jawapannya mungkin terselindung di sebalik pepatah ‘masuk kandang kerbau menguak, masuk kandang kambing mengembik’, yang menjadi salah satu warisan ‘gemilang’ yang dibanggakan oleh orang Melayu.

Pepatah itu boleh ditafsirkan dengan dua nilai utama. Pertama, ianya adalah manifestasi terhadap kehalusan hati budi Melayu dan kedua, merupakan cerminan pada perasaan ‘rendah diri’ (inferior) yang dikatakan terdapat dalam jiwa mereka secara semulajadi.

Biar tafsiran mana pun yang dipilih, apa yang jelas ialah pepatah tersebut telah menjadi kunci kepada sikap kebanyakan orang Melayu apabila berhadapan dengan elemen-elemen luar. Ia secara tidak langsung mengajar mereka supaya sentiasa bersifat mengalah dan ‘mengutamakan kera di hutan, walaupun anak di rumah mungkin kelaparan’.

Lihatlah bagaimana cara kebanyakan Melayu berinteraksi dengan orang asing. Kelazimannya, mereka akan bersusah payah menyesuaikan diri dengan orang asing tersebut. Apabila bercakap dengan orang Cina, mereka akan bermati-matian menggunakan bahasa pasar yang penuh telor keCinaannya. Begitu juga apabila bercakap dengan orang India atau orang apa sahaja. Mereka jarang menggunakan bahasa Melayu yang betul. Mereka bersedia melonggarkan segala hukum tata bahasa sendiri. Mereka sanggup mengorbankan nahu yang diwarisi turun-temurun.

Semua ini adalah antara faktor yang menyumbang kepada penghakisan nilai-nilai Melayu. Tetapi faktor yang lebih besar, dan yang paling besar sebenarnya ialah kerana kita tidak pernah berbangga menjadi Melayu sebagaimana orang Cina berbangga menjadi Cina dan orang Inggeris berbangga dilahirkan sebagai Inggeris. Dan rasa bangga itu tidak akan dapat dibina, apatah lagi dipupuk, jika Melayu terus melupakan asal keturunannya.

‘Melayu sebenarnya bangsa yang besar’ hanya akan menjadi kenangan yang cukup indah, yang akhirnya akan melontarkan Melayu ke dalam kenyataan yang amat pahit.

Mohd Saifullah b Hj Dolmat
Ketua Penerangan Gpms Melaka

posted from Bloggeroid

Khamis, 10 April 2014

Cabaran Pendidikan dan Sosio Politik Melayu

Pada zaman penjajahan, Tanah Melayu langsung tidak mempunyai dasar pendidikan yang jelas. Sewaktu zaman pemerintahan British, mereka telah melaksanakan sistem pendidikan yang berteraskan pendidikan Inggeris, di mana sekolah-sekolah aliran Inggeris ini mengajar mata pelajaran dalam bahasa Inggeris.

Pada zaman penjajahan ini, dasar pendidikan tidak menghasilkan keberkesanan yang positif, terutama untuk perpaduan dan pelaksanaannya mempunyai banyak kelemahan keranan British pada masa itu hanya mementingkan kepentingan ekonomi dan kedudukan sendiri sahaja. Pihak Inggeris juga telah mewujudkan sekolah vernakular Melayu, vernakular Cina dan vernakular Tamil yang sudah pasti ianya telah menyebabkan masyarakat Melayu, Cina dan India dipisahkan mengikut sistem persekolahan dan hubungan antara mereka menjadi semakin renggang. Sekolah-sekolah vernakular ini mempunyai kepentingan tersendiri bagi setiap kaum atau etnik tersebut. Masalah untuk membentuk perpaduan menjadi bertambah rumit apabila pihak British tidak memainkan peranan dengan adil, terutama dari segi layanan yang setaraf kepada semua bangsa atau kaum.

Selepas Merdeka 1957, Malaysia merupakan sebuah negara baru dan memulakan zaman untuk mengukuhkan semula pendidikan negara supaya selari dengan matlamat perpaduan nasional. Akta Pelajaran 1961 merupakan bukti usaha murni yang dilakukan oleh kerajaan Malaysia bagi mengembalikan semula kepercayaan rakyat supaya mereka memahami dasar pendidikan yang dilaksanakan kerajaan adalah demi kepentingan masyarakat Malaysia yang majmuk. Menurut Abu Bakar Nordin (1994), “Laporan Razak 1956 boleh dijadikan sebagai batu loncatan ke atas dasar dan sistem pendidikan kebangsaan yang mempunyai perubahan positif, terutama membentuk dan memupuk perpaduan negara”. Perpaduan antara masyarakat majmuk merupakan asas utama yang diberikan oleh kerajaan Malaysia ketika menggubal dasar pendidikan selepas negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957.

Peristiwa berdarah 13 Mei 1969 telah mengubah landskap politik, ekonomi dan sosial masyarkat Malaysia di mana selepas peristiwa itu berlaku, pihak kerajaan telah mewujudkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang bermatlamat mencapai perpaduan negara dan integrasi nasional. Peristiwa berdarah ini turut memberi impak yang besar kepada dasar pendidikan.

Bermula tahun 2010, sistem pendidikan di Malaysia telah bergerak seiring dengan keperluan semasa keranan masyarakat juga turut berubah disebabkan oleh arus permodenan dan globalisasi. Sehingga kini, Malaysia masih meneruskan kesinambungan sistem persekolah lama dengan mengekalkan sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan Cina dan sekolah jenis kebangsaan Tamil. Isu-isu ini telah kerap kali dibincang dan diperdebatkan namun akhirnya tiada jalan penyelesaian yang dilakukan bagi mengubah kepada sistem persekolahan yang baru. Isu-isu ini sebenarnya merupkan isu yang sensitif bagi masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa, kerana bukan sesuatu yang mudah untuk mendapatkan persetujuan daripada masyarkat yang mempunyai pandangan, pendapat dan kepentingan yang berbeza.

Kewujudan sekolah yang pelbagai aliran ini telah menjejaskan perpaduan kaum di Malaysia. Kini ianya sudah tidak relevan untuk digunapakai kerana sekiranya ia masih diteruskan, maka hubungan antara masyarakat Malaysia akan menjadi semakin pudar dan renggang. Ini kerana sekolah merupakan tempat mula-mula masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa bertemu untuk saling kenal mengenali.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak pernah mengatakan bahawa beliau bersedia menimbangkan untuk mewujudkan hanya satu sistem sekolah sahaja yang diguna pakai sekiranya rakyat Malaysia bersetuju untuk mengikut sistem tersebut. Memang kita tidak dapat nafikan, di dalam usaha melaksanakan satu-satu dasar baru, kerajaan perlu mengambil kira kehendak rakyat kerana ingin menggelakkan timbulnya perbalahan dan kesan buruknya akan balik kepada rakyat dan juga negara. Sehingga kini, masyarakat Malaysia masih belum bersetuju dan mencapai kata sepakat di dalam menggunakan satu sistem sekolah sahaja. Masyarakat Cina dan India dilihat masih mahu menggunakan sistem sekolah pelbagai aliran yang dianggap dapat menjaga bahasa ibunda mereka dan menjamin hak-hak mereka.

Namun pada pendapat saya, idea menubuhkan satu aliran sistem persekolahan perlu dilaksanakan kerana melaluinya semangat perpaduan di kalangan rakyat akan dapat dipupuk. Pelaksanaan sistem ini tidak akan menyebabkan kehilangan identity kaum-kaum tertentu, malah ia akan terus menyemai semangat perpaduan yang kukuh di kalangan masyarkat Malaysia. Masyarakat Cina, India dan semua kaum masih boleh mengekalkan penggunaan bahasa ibunda mereka, walaupun mereka belajar di sekolah yang sama aliran.

Sejak zaman penjajahan lagi, masalah integrasi telah wujud terutamanya semasa penjajahan British. Mereka menjalankan dasar “divide and rule” iatu dasar pecah dan perintah agar dapat memerintah dan mengeksploitasi ekonomi negara. Dasar ini jugalah yang memisahkan kaum-kaum utama negara ini mengikut bidang ekonomi yang dijalankan. Masyarakat melayu mengendalikan pertanian dan ditempatkan di kawasan luar Bandar iaitu di kampong-kampung. Masyarakat Cina ditempatkan dilombong-lombong bijih timah dan bandar-bandar kerana aktiviti perlombongan dan perdagangan yang dijalankan mereka. Manakala masyarakat India pula ditempatkan di lading-ladang getah. Perubahan fungsi ini telah menyebabkan ketiga-tiga kaum ini terpisah dan hubungan semakin terhada dan menjadi bertambah renggang.

Cabaran dari segi ekonomi yang paling nyata ialah perbezaan dari segi pekerjaan di mana perbezaan ini diwujudkan oleh pihak British melalui pecah dan perintah sepertimana dinyatakan sebelum ini. Masalah ini telah mewujudkan perasaan curiga dan telah mewujudkan jurang ekonomi antara kaum-kaum terbabit.

Akibat daripada dasar yang dicipta oleh British itu, kesannya masih lagi dapat dilihat sampailah sekarang di mana sektor perniagaan masih lagi didominasi oleh orang Cina dan kebanyakkan orang India masih lagi tinggal di ladang-ladang. Perbezaan pekerjaan ini telah membataskan interaksi sosial antara mereka kerana masa banyak diluangkan ditempat kerja dan sekiranya rakan sekerja terdiri daripada kaum atau etnik yang sama maka interaksi dan komunikasi hanya berlaku dan berada dalam lingkungan kaum yang sama sahaja. Kesannya adalah di mana perasaan prasangka dan perkauman akan menjadi semakin kuat dan menebal di antara sesama kaum terbabit.

Dominasi kaum dalam satu-satu bidang juga adalah cabaran ke dua daripada aspek ekonomi. Ini adalah kerana kaum-kaum lain tidak dapat menyelit atau masuk ke dalam bidang tertentu yang didominasi oleh kaum-kaum tertenuu dan ini adalah kerana kaum yang mendominasi itu mahu terus mengekalkan hak dan kuasa dominasi mereka. Diantara contoh yang boleh dibawa di sini ialah dominasi di dalam bidang perniagaan yang telah didominasi oleh kaum Cina sejak dahulu lagi dan sehingga sekarang, masyarakat Cina masih lagi mendominasi bidang ini walaupun kerajaan sentiasa menggalakkan mereka untuk menceburkan diri ke dalam bidang lain juga seperti bekerja dengan pasukan beruniform (polis, askar) dan juga perguruan. Kerajaan juga telah membuka peluang kepada mereka dalam sektor perkhidmatan awam namun gagal dan kurang mendapat sambutan. Dr Ridhuan Tee (2009) pernah menyatakan bahawa “ Mereka (kaum Cina) yang terlalu bangga dengan tamadun mereka serta lebih suka berdikari dengan menceburkan diri dalam bidang perniagaan yang menjadi darah daging mereka”.

Di dalam mengatasi masalah dan cabaran ini, banyak dasar-dasar yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan seperti DEB dan juga RMK, namun pihak kerajaan hanya mampu merapatkan dan mengurangkan sedikit sahaja jurang ekonomi kaum.

Majoriti parti politik di Malaysia ditubuhkan berasaskan kaum masing-masing. Contohnya, seperti UMNO dan PAS untuk orang Melayu, MCA,PAP dan DAP untuk orang Cina, dan MIC untuk orang India. Faktor penubuhan parti-parti ini telah menguatkan sikap dan semangat perkauman yang tinggi . Sikap ingin memperjuangkan kaum masing-masing tanpa semangat kekitaan pasti akan melambatkan proses perpaduan yang selama ini diusahakan oleh pihak kerajaan yang sudah pastinya diimpikan oleh seluruh rakyat Malaysia.

Memang tidak dinafikan terdapat sebahagian parti berlainan bangsa yang bergabung tetapi perjuangan mereka sedikit sebanyak tetap berbaur perkauman. Kewujudan parti-parti politik yang berasaskan kaum ini juga menjadikan pengaruh perkauman turut merebak kepada institusi keluarga dan juga pendidikan. Menurut Funston (2001), “setiap etnik akan memperjuangkan kepentingan kaum masing-masing terutama hal-hal yang berkaitan dengan bahasa, pendidikan dan kebudayaan, sedangkan dalam membina integrasi nasional dan perpaduan yang utuh semua rakyat tanpa mengira kaum mahupun agama mestilah sama-sama berganding bahu dan tenaga mencapai satu perjuangan dan matlamat yang sama demi negara yang menjadi tempat tumpah darah mereka dan semua rakyatnya.

Kita dapat melihat semangat perkauman ini di dalam isu bahasa di mana tahun 1966, kira-kira 1200 pertubuhan keturunan Cina menjalankan kempen mengutip tandatangan menuntut supaya bahasa Cina dijadikan salah satu dari bahasa rasmi negara. Isu yang berkaitan dengan perancangan untuk mewujudkan Sekolah Wawasan. Masyarakat Cina yang diwakili oleh parti politik Cina telah menentang penubuhan sekolah ini dengan mengatakan bahawa identiti rakyat Cina akan hilang sedangkan pewujudan sekolah tersebut akan mewujudkan perpaduan antara masyarakat.

Dari dahulu sehingga sekarang masih ada lagi pertelingkahan yang melibatkan bahasa dan juga pendidikan yang sudah pastinya akan menambahkan retak-retak perpecahan rakyat yang sudah pasti akan membantut atau menghalang usaha integrasi nasional yang cuba dilaksanakan oleh pihak kerajaan yang memerintah.

Mohd Saifullah b Hj Dolmat
Ketua Penerangan Gpms Melaka


posted from Bloggeroid

Rabu, 9 April 2014

Bahasa Melayu Bahasa Ilmu

Pemimpin Melayu sering membuat kenyataan bahawa bahasa Melayu sudah bertapak di naluri rakyat Malaysia sehingga mewujudkan pembelajaran bahasa pengantara teknologi dan Sains dalam bahasa Inggeris. Cuba kita lihat Universiti Swasta dan syarikat-syarikat swasta yang mengagungkan penggunaan bahasa Inggeris. Saya meminjam kajian Simanjuntak dalam Kongres Bahasa Melayu Sedunia. Saya mengambil satu contoh saja, iaitu, bagaimana bahasa Hawaii pupus, dan sekaligus bagaimana bangsa Hawaii luput dan kehilangan maruah. Pada tahun 1820 Ratu Kamehameha I menerima guru Inggeris masuk ke pulaunya. Dia didesak oleh peniaga-peniaga asing berbahasa Inggeris supaya mendirikan sekolah Inggeris untuk anak-anak mereka. Dia mengalah. Pada tahun 1848, Ratu Kamehameha III memutuskan supaya bahasa Inggeris dijadikan bahasa pengantar pendidikan. Golongan bawahan rakyat yang menjadi majoriti mahu mempertahankan bahasa Hawaii. Tetapi mereka kalah kepada golongan elit yang terdiri daripada orang Hawaii berbahasa Inggeris dan kaum haole (kacukan). Mereka ini tidak ramai. Alasan mereka ialah ... supaya bahasa Inggeris diajar kepada seluruh negara, dan ini sekaligus membuka sumber ilmu yang luas kepada mereka ... Bingham, (1848:44). Samalah dengan apa yang dikatakan oleh Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan Malaysia.
Seorang ahli sejarah, Reinicke (1969:70-71) melaporkan, pada tahun 1848 ada 624 sekolah berbahasa Hawaii dengan murid seramai 19,644 orang. Pada masa itu hanya ada 7 sekolah Inggeris swasta dengan murid seramai 200 orang. Pada tahun 1893 semasa Ratu Liliuokalani digulingkan oleh peniaga dan pengusaha ladang Amerika yang berbahasa Inggeris, hanya tinggal 28 sekolah Hawaii dengan 552 murid. Sekolah Inggeris Kerajaan meningkat menjadi 140 buah dengan murid seramai 10,160 orang. Pada 1902 semua sekolah berbahasa Hawaii pupus.
Hilanglah bahasa Hawaii dari buminya sendiri. Apabila bahasanya pupus, bangsanya juga hilang maruah. Bangsa Hawaii tidak wujud lagi. Mereka hanya menjadi bangsa serpihan kepada bangsa Amerika.
Setiap bahasa mempunyai ekologi sendiri. Ikan mempunyai ekologinya, persekitarannya, airnya, makanannya, binatang lain yang hidup bersamanya, dll. Bahasa juga mempunyai ekologi sendiri. Penuturnya, fungsinya, persekitarannya, dll. Apabila fungsi menyampaikan sains dan teknologi digugurkan, kita mengusik ekologinya, kemusnahannya akan mengikutinya. Bahasa teras bangsa. Belajar terus Belajar.

Mohd Saifullah b Hj Dolmat
Ketua Penerangan Gpms Melaka

posted from Bloggeroid

Puisi Keramat Melayu

Puisi Bentara Melayu.

Bangsa Melayu pernah kuat,
Buka tanah guna tulang empat kerat,
Masih sempat beristeri empat,
Tongkat Ali jamu khasiat.

Bangsa Melayu pernah digentar,
Ular, harimau ditepuk tampar,
Kerisnya bisa silatnya gempar,
Amuk Melayu bumi bergegar.

Bangsa Melayu pernah gagah,
Berkaki ayam hutan diredah,
Pernah cuba diganyang penjajah,
Umat Melayu jihad sabilillah!

Bangsa Melayu pernah berdaulat,
Seantero dunia kesultanan hebat,
Tujuh penjajah cuba menempat,
Dengan kudrat semua dihambat.

Bangsa Melayu bangsa keramat,
Nabi (saw) pernah beramanat,
Buat dakwah di bumi berkat,
Diakhir masa ramai wali hebat.

Bangsa Melayu terasnya hikmat,
Sejarah Melayu tertera riwayat,
Nabi (saw) memberi amanat,
Raja Melaka mendapat hidayat.

Bangsa Melayu penuh santunan,
Agama dijunjung zaman berzaman,
Wali Melayu penuh kehebatan,
Karamah barakah jadi laziman.

Bangsa Melayu penuh daulah,
Halusi sahaja kisah sejarah,
Wa’ad Melayu jangan disanggah,
Sanggah waad menjemput tulah.

Tanah Melayu pernah tersurat,
Raja rakyat saling muafakat,
Alim ulama dijunjung hormat,
Bumi bertuah terbilang sejagat.

Bumi Melayu penuh berkat,
Tempat tumpuan ulama sejagat,
Madrasah pondok merata tempat,
Menjana insan unggul berhikmat.

Tanah Melayu intinya hebat,
Bumi zuriyyat Nabi (saw) sudah tersurat,
Kesultanan Melayu hampir padat,
Pancaran Baginda penuh karamat.

Bumi Melayu pernah terbilang,
Sejarah rajanya penuh gemilang,
Turunan penjajah mana menghilang,
Kesultanan tradisi masih ditatang.

Melayu pernah berilmu budaya,
Dari llahi satu kurnia,
Manuskrip tersebar serata sedunia,
Menyimpan khazanah Melayu tua.

Bangsa Melayu halus seninya,
Hayati warisan persuratannya,
Syair seloka indah madahnya,
Pertukangan sulaman tiada taranya.

Berkurun Melayu junjung agama,
Adat dijaga bersama-sama,
Bangsa Melayu harum namanya,
Rahmat Allah turun semua.

Orang Melayu usahlah alpa,
Warisan leluhur bukan sehari dua,
Pusaka Melayu 6 kurun lamanya,
Jadi kebanggaan anak bangsanya.

Orang Melayu usahlah goyah,
Propaganda musuh jangan melatah,
Ungkapan’Melayu lemah’ semata tohmah,
Strategi musuh mencabar maruah.

Sejarah Melayu sebenarnya hebat,
Namun dicemar musuh keparat,
Propaganda keji dibuat-buat,
Maruah Melayu disiat-siat.

Jatidiri Melayu sebenarnya kuat,
Bangsa Melayu pernah berdaulat,
Silap Melayu membuang adat,
Silap rajanya membuang muafakat.

Bukan baru musibah Melayu,
Sudah wujud sekurun dua nan lalu,
Serangan penjajah bertalu-talu,
Tradisi dijarah tiadalah malu.

Melayu mula ditimpa musibah,
Pabila Inggeris datang menjajah,
Adat dibuang agama disanggah,
Akhirnya Melayu ditimpa tulah.

Sekian lama Melayu disasarkan,
Sejarah jatidiri diserang-serang,
Musuh luar dan dari dalaman,
Mungkin tersirat suatu ramalan?

Melayu kini resah gelisah,
Namun jelas hakikat sejarah,
Mungkin tersirat sebalik musibah,
Melayu pencetus kebangkitan ummah?

Ingat pesanan Rasulullah (saw),
Panji hitam dari timur, bumi karamah,
Bangsa Melayu usah menyerah,
Cari kekuatan dari sejarah.

Sejarah Melayu sebenarnya hebat
Baka Melayu penuh hakikat,
Bumi ahlul-bait itulah kudrat,
Umara-ulama kunci terletak.

Laksamana Hang Tuah gagah orangnya,
Berilmu, bertariqat, berisi dirinya,
Janganperlekeh riwayat firasatnya,
“Takkan Melayu Hilang di Dunia!!”



Petikan dari buku Ahlul-bait Nabi SAW, Dinasti Melayu & Akhir Zaman


posted from Bloggeroid

Mana letaknya maruah Melayu ?

Di dalam sistem pendidikan kita, anak-anak Melayu mempelajari ilmu agama seawal peringkat pra-sekolahnya. Tidak memadai dengan apa yang diajar di sekolah pada sessi pengajian biasa, mereka dikehendaki menghadiri kelas-kelas agama di luar waktu sekolah.

Dengan himpunan kesemua itu, tradisi kekeluargaan dan masyarakat yang akrab serta pendidikan agama daripada peringkat awal usia, anak-anak Melayu mempunyai bekalan yang cukup untuk menghindar daripada terjebak dengan gejala-gejala buruk. Kalaupun semua yang disebutkan tadi tidak cukup untuk menjadikan mereka remaja yang baik, ia tetap lebih daripada mencukupi untuk mengelakkan mereka daripada menjadi remaja yang tidak baik.

Amat malang, apa yang berlaku adalah sebaliknya. Dari setahun ke setahun bilangan remaja Melayu yang sakit dan menyakitkan bangsa ini bertambah dengan banyaknya. Lingkungan mereka juga menjadi semakin luas hingga ada kalanya kita merasakan ‘ghetto’ paling liar di Brooklyn atau ‘chicano’ paling nakaldi Bronx juga kagum kepada mereka.

Mengapa ini berlaku?

Di mana silapnya kita?

Banyak pihak berminat mengaitkan gejala sosial ini dengan arus pembangunan yang melanda negara. Pendapat yang konvensional ini tidaklah boleh dianggap salah. Pembangunan memang sentiasa meninggalkan dosanya ke atas setiap manusia. Suatu ketika dahulu kawasan yang merentang dari Mauritania hingga ke Pakistan, merentasi kawasan kawasan berbudaya Arab, Iran dan Turki, kebanyakannya dikuasai oleh model keluarga besar yang berkahwin dalam batasan kelompoknya sahaja. Sistem kekeluargaan mereka bersifat ‘yang tua berkuasa’, dengan institusi sosial yang berpengaruh serta hiraki yang terjalin erat.

Bagaimanapun pada penggal kedua abad ke-19, apabila komuniti-komuniti itu mula menerima angin pembangunan dari Eropah melalui skim penjajahan yang berterusan, segala nilai yang sedia ada itu mula longgar. Komuniti-komuniti itu mengalami kejutan sosial dan ekonomi yang teruk. Hasilnya, mereka mula berhadapan dengan masalah-masalah baru, bermula daripada pelanggaran adat perkahwinan di luar lingkungan keluarga hinggalah ke masalah kelahiran tanpa perkahwinan.

Keadaan yang serupa berlaku di mana-mana. Apabila mula menjadi besar dan maju, Tamadun Greek Purba terus dicemari oleh masalah-masalah sosial yang buruk sehingga rumah pelacuran berada di hampir setiap penjuru jalan. Pada era gemilangnya, Tamadun Mohenjo-Daro di Lembah Indus dipenuhi oleh sundal dan pemadat.

Alasan yang sama memang boleh digunakan dalam memperkatakan gejala kekalutan sosial di kalangan remaja Melayu. Kita memang boleh menyalahkan pembangunan.

Memang benar sewaktu negara belum bergerak maju, remaja Melayu tidak terancam sebegitu rupa. Mereka jarang terlibat dalam aktiviti tidak bermoral. Kenakalan mereka masih berbatas.

Bagaimanapun apabila negara pesat berkembang, nilai nilai buruk yang tersembunyi di dalam diri mereka mula menampakkan wajahnya. Akibatnya, semakin maju negara, semakin teruk keadaan mereka; semakin tinggi tamadun bangsa, semakin mundur peribadi mereka.

Tetapi jangan salahkan kemajuan semata-mata. Ada banyak bangsa lain yang boleh maju dan pada masa yang sama berupaya meminimumkan gejala sosialnya. Di China, sebagai contoh, kadar gejala sosial masih rendah kalau dibandingkan dengan penduduknya yang berjumlah lebih 1.2 billion itu. Singapura juga setakat ini masih mampu bertahan dengan rekod yang tidak seburuk kita. Kalaupun ada, bohsia dan bohjannya masih tidak dapat mengatasi keberanian bohsia dan bohjan kita.

Jika contoh-contoh itu terlalu jauh, bagaimana pula dengan contoh yang ada di depan mata? Orang Cina dan India di Malaysia berada dalam situasi yang serupa dengan kita. Jika kita maju, mereka juga sama-sama maju. Jika kita diancam oleh gejala sosial yang datang bersama kemajuan itu, mereka juga tidak terkecuali. Tetapi kenapa kadar remaja mereka yang bermasalah jauh lebih rendah? Masakan jawapannya, kerana mereka lebih alim daripada kita?

Kemajuan sepatutnya dimanfaatkan. Peningkatan taraf ekonomi, keupayaan untuk hidup selesa dan kemampuan menyediakan asas pendidikan sempurna, yang turut datang bersama-sama kemajuan, seharusnya dijadikan perisai bagi menangkis ancaman-ancaman yang menggugat moral itu.

Tetapi semua itu sekadar menjadi impian yang indah. Kemajuan yang kian berkembang biak, kesempatan menimba ilmu yang semakin bertambah besar, asas pendidikan agama yang tidak pernah berkurangan, semuanya seakan gagal menyelamatkan sebahagian remaja Melayu daripada menjadi tidak senonoh.

Memang ada benarnya kenyataan bahawa kemajuan telah menghuru-harakan institusi kekeluargaan dan sistem masyarakat, lalu mengakibatkan tercetusnya pelbagai bentuk kecelaruan. Tidak dinafikan bahawa memang banyak remaja yang menjadi mangsa keghairahan ibu bapa mereka untuk maju. Kegilaan kepada kemajuan menyebabkan pertalian antara keluarga menjadi renggang dan hubungan sesama anggota masyarakat pula bertambah longgar. Masing-masing lebih senang membawa rasmi enau di dalam belukar yang cita-citanya cuma mahu melepaskan pucuk masing-masing. Mereka tidak begitu mempedulikan lagi apa yang terjadi hatta pada anak cucu sendiri.

Persoalannya ialah, kenapa sampai jadi begitu? Bukankah sama seperti anak-anak mereka, setiap ibu bapa Melayu telah diasuh untuk memilih nilai baik dan buruk sejak masih di dalam kandungan lagi? Tidakkah mereka dilahir dan dibesarkan dalam kumpulan masyarakat yang sentiasa mengutamakan norma-norma yang berteraskan kebaikan? Tidakkah ajaran Islam yang mereka miliki lebih daripada cukup untuk dijadikan panduan bagi mengelak daripada melakukan perkara-perkara yang tidak elok, termasuk mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga dan masyarakat?

Lagi sekali jawapannya mempunyai kaitan dengan sikap enggan menjengah pada kesilapan sendiri. Sekiranya setiap Melayu meluangkan masa merenung kembali akar budaya mereka, masing-masing pasti akan menyedari bagaimana besarnya pengabdian nenek moyang mereka terhadap nilai dan resam yang baik. Kata-kata ‘biar mati anak, jangan mati adat’ misalnya, sudah memadai untuk menggambarkan betapa komitednya orang Melayu dalam hal mempertahankan norma-norma yang mereka warisi. Semestinyalah norma-norma itu baik dan sejajar dengan tuntutan agama.

Jika setiap Melayu melapangkan masa, sebagaimana mereka melapangkan masa untuk berbual kosong di kedai kopi atau menghadap skrin televisyen untuk menonton gusti atau cerita Hindi, lalu meneliti setiap baris perkara-perkara yang menjadi suruhan dan larangan agama Islam yang mereka anuti, dengan sendiri kecelaruan mereka akan terurai. Mereka pasti akan segera sedar bahawa dilahirkan sebagai Islam itu sebenarnya adalah rahmat yang amat besar,dan ianya sudah memadai untuk menyelamatkan mereka daripada menjadi yang bukan-bukan.

Malang sekali, Melayu terlalu sibuk memandang ke hadapan sehingga melupakan tuntutan untuk menoleh ke belakang. Mereka terkejar-kejar untuk menjadi orang lain sehingga terlupa untuk menjadi diri sendiri. Mereka juga terlupa bahawa bangsa mereka sendiri mempunyai segala asas, yang jika dicerna betul-betul akan membolehkan mereka menjadi seribu kali lebih baik daripada orang lain.

Tidak ada sesiapa di dunia ini yang gembira melihat bangunan-bangunan tinggi yang dibina oleh kemajuan bangsanya menjadi tempat anak-anak muda bangsa itu mensia-siakan hidup dengan perilaku yang mencacatkan peradaban. Melayu tidak harus membenarkan gejala sosial itu dilindungi oleh kilau kemilau bangunan-bangunan tersebut.

Tuntutan untuk merawat keadaan ini sebahagian besarnya terpikul di bahu semua pihak. Tetapi yang paling berat memikul bebannya pastilah pemerintah. Dalam apa juga keadaan, pemerintah tidak boleh lepas tangan begitu sahaja.

Menyalahkan golongan remaja Melayu kerana kerapuhan peribadinya adalah satu perkara. Mengungkit-ungkit kegagalan mereka menggali nilai-nilai baik daripada budaya bangsa dan agama mereka juga merupakan satu lagi perkara. Tetapi membiarkan mereka terus begitu adalah satu perkara yang lain.

Kemajuan tidak memadai dengan menyediakan segala nikmat yang bersifat material. Ia harus seimbang dengan keperluan-keperluan rohani yang bersesuaian. Tanggungjawab pemerintah untuk menyediakan keperluan rohani itu sama beratnya dengan tanggungjawab memberikan kemajuan material kepada rakyat.

Setakat manakah tanggungjawab itu telah dipenuhi?

Mohd Saifullah bin Hj Dolmat
Ketua Penerangan Gpms Melaka



posted from Bloggeroid

Rabu, 2 April 2014

Membentuk sistem Pendidikan Nasional

Semasa pemimpin-pemimpin menanamkan cerucuk asas pendidikan Negara kita kira-kira lebih 40 tahun dahulu, mereka hanya menekankan untuk memberi ilmu pengetahuan sains, teknologi dan kemahiran kepada anak-anak sekolah bagi menyediakan dan membawa Malaysia kearah Negara maju.

Tetapi setelah melihat kepada ciri masyarakat yang terbentuk hasil melalui sistem yang ada ini, dapatlah kita membuat kesimpulan, terdapat sesuatu yang tidak kena dalam sistem pendidikan kita.

Pendidikan di sekolah dan di rumah sangat memberi kesan kepada pembentukan sahsiah sesuatu masyarakat.

Kita di semenanjung, terdiri dari tiga kaum yang terbesar iaitu Melayu, Cina dan India. Tiga-tiga kaum ini menerima pendidikan di peringkat tadika dan sekolah rendah secara berasingan. Selalunya kelompok tempat tinggal mereka juga berasingan. Kalau masa dulu, orang Cina ramai tinggal di kawasan Bandar, orang Melayu di kampong dan orang India di estet.

Di masa ini pun, walaupun ketiga-tiga kaum ini tinggal di taman perumahan, mereka masih cenderung untuk tinggal dalam kelompok kaum mereka.

Pengasingan sekolah dan kawasan penempatan mengikut kaum ini menyebabkan peluang untuk mereka berkenal lebih rapat dan bersahabat antara kaum sangat sukar sekali. Mereka hanya bertemu dalam aktiviti yang tertentu sahaja, seperti dalam urusan jual beli dan urusan pekerjaan sahaja, selain dari itu mereka seperti tidak bergantung antara satu sama lain.

Amat jarang sekali tiga kaum utama ini berpeluang menjalankan aktiviti kehidupan bersama. Ekoran dari itu, tiga kaum ini tidak berpeluang mengenal antara satu sama lain dengan lebih dekat, hasilnya mereka mempunyai aspirasi yang berlainan. Mereka tidak dapat merasakan kehendak, kemahuan dan keperluan kaum lain. Sebaliknya semua tindak tanduk dan aktiviti mereka hanya berkisar kepada kaum mereka sahaja.

Pemisahan kaum-kaum ini telah melebarkan jurang perbezaan antara mereka, akhirnya mereka terus selesa dengan keadaan demikian, mereka menganggap kaum yang lain itu sukar untuk didekati dan dicampuri. Jauh dari menjadi sahabat, sebaliknya mereka menganggap kaum lain itu sebagai ‘musuh’ yang boleh menyusahkan hidup mereka. Suatu kaum akan berusaha untuk ‘membunuh’ atau mengalahkan kaum yang lain.

Perasaan curiga dan prasangka kepada kaum lain sentiasa wujud dalam pemikiran masyarakat Malaysia. Pelbagai provokasi antara kaum di lakukan. Masyarakat tidak melihat siapa yang bersalah dan berkelakuan buruk secara individu yang telah menyebabkan pergaduhan itu, tetapi sebaliknya masyarakat Malaysia melihat insiden itu dengan kacamata perkauman.

Parti-parti politik yang wujud juga tidak terlepas dari mengikut polarisasi kaum dan ia sebenarnya adalah lanjutan hasil dari pemisahan kaum dalam kehidupan sebenar mereka. Dalam meraih sokongan, ahli politik lebih suka dilihat untuk menjadi hero kepada kaumnya.

Bila bercakap soal untuk membasmi kemiskinan dan membantu golongan miskin, mereka lebih suka bercakap untuk memperjuangkan taraf ekonomi dan kehidupan orang Melayu. Padahal kalau dia kata untuk meningkatkan ekonomi rakyat yang miskin, yang akan dibantu adalah orang Melayu juga, kerana kaum Melayu lah yang paling ramai miskin. Tetapi disebabkan untuk meraih sokongan politik, mereka lebih suka bercakap untuk membantu dan membela orang Melayu.

Sikap dan tabiat orang Melayu, orang Cina dan orang India juga berbeza. Orang Melayu dikatakan baik hati tetapi malas, orang Cina dikatakan tamak tetapi rajin, orang India pula dikatakan taat tetapi culas. Apakah sikap dan tabiat setiap kaum itu diwarisi atau dididik dari kecil. Tetapi kalau kita letakkan kesalahan ini kepada sistem pendidikan pun ada kebenarannya, kerana mereka dididik dan melalui sistem persekolahan yang berbeza, sudah tentu hasilnya juga akan berbeza.

Ada kemungkinan kalau ketiga-tiga kaum ini bersekolah dalam sistem sekolah yang sama, sikap dan tabiat mereka akan menjadi lebih kurang sama atau hampir seragam.

Orang Jepun terkenal dengan memiliki sikap-sikap yang murni seperti tidak mementingkan diri, jujur, telus, tidak mencuri, rajin, gigih, sabar, tidak membuang sampah merata-rata, bebaris mendapatkan giliran tanpa memotong barisan, sikap ingin belajar dan ingin tahu, berbangga untuk membuat kebaikan, membantu orang yang memerlukan.

Kenapa Jepun boleh menghasilkan manusia yang berakhlak mulia tetapi kita tidak boleh? Ini mesti ada yang tidak kena dengan sistem pendidikan kita. Kita patut belajar dari Jepun.

Nilai yang murni tidak cukup sekadar diceramah dan diberitahu sahaja, tetapi ia perlu dilatih untuk melakukannya supaya ia akan menjadi amalan dan budaya masyarakat.

Di universiti sekarang ini begitu ghairah dan sibuk sekali menekankan latihan generic skill atau soft skill atau kemahiran keterampilan diri. Bagi saya generic skill ini mesti bermula dan dilatih diperingkat tadika lagi, bukan di universiti baru hendak diperkenalkan kepada mereka, kerana ia melibatkan sikap, amalan dan budaya.

Kenapa anak-anak muda Melayu kita suka merempit dan melepak? Kenapa anak-anak muda kita banyak terjebak dalam masalah sosial, menghisap rokok, penyalahgunaan dadah, seks bebas. Semuanya ini memerlukan kita melihat semula kepada sistem pendidikan yang dilalui oleh anak-anak kita samada di sekolah mahupun di rumah.

Anak-anak sekolah kita lebih berbangga untuk menjadi jahat, mereka bangga kalau kenal samseng atau gangster di luar sekolah, sebaliknya murid yang ingin membuat perkara yang baik sering diperli, dikutuk dan diejek.

Penguatkuasa banyak terlibat dengan rasuah, mereka tidak amanah. Masyarakat kita juga dibelenggu dengan masalah perbezaan status yang diukur mengikut pekerjaan dan tahap ekonomi mereka. Pemungut sampah dianggap golongan rendah. Amat memalukan kalau berjalan kaki atau menggunakan pengangkutan awam. Sebaliknya menaiki dan memiliki kereta Mercedes dan BMW di pandang tinggi.

Apakah semua masalah dan kemelut yang kita hadapi hari ini ada kaitan dengan kepincangan dalam sistem pendidikan kita?

Tetapi yang pastinya, kalau kita semai benih lalang tidak mungkin kita akan menuai padi.

Relevankah tuntutan UEC ?
Relevankah tuntutan Sekolah perkauman ?


Ketua Penerangan Gpms Melaka
Mohd Saifullah b Hj Dolmat


posted from Bloggeroid